Selasa, 12 Mei 2009

Keratan Akhbar

Media perlu tingkat peranan angkat martabat Bahasa Melayu
Oleh Hasrulraizan

Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan berucap.
Dari kiri...Hajah Aminah, Dr Mataim Bakar, Dr Haji Azmi dan Haji Mohd Salleh dalam Forum Perdana Bahasa berkenaan.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Media cetak dan media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi kerana tanggungjawab memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu supaya menjadi lebih mantap dan perkasa sewajarnya tidak dibebankan semata-mata kepada Dewan Bahasa dan Pustaka saja.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Md Yusof yang berucap pada perasmian Forum Perdana Bahasa yang diadakan di Gadong hari ini berkata usaha memartabatkan bahasa memerlukan sokongan, kerjasama yang padu serta penglibatan agensi kerajaan yang berkenaan, institusi pendidikan, kumpulan ilmuwan, cendekiawan, pihak swasta dan masyarakat.
Tidak ketinggalan juga media massa turut bertanggungjawab memajukan perkembangan dan mendaulatkan bahasa Melayu iaitu dengan menerbitkan bahan bacaan bermutu tinggi dan bercorak ilmiah termasuk dari aspek bahasanya, tambah beliau lagi.
Forum Perdana Bahasa yang dipengerusikan Hajah Aminah Haji Momin itu menampilkan tiga panel iaitu Dr Mataim Bakar, Dr Haji Azmi Abdullah dan Haji Mohd Salleh Abdul Latif.
"Kita harus sedar tanggungjawab memperkasa bahasa Melayu adalah demi kesinambungan dan kelangsungan sesebuah bangsa yang mempunyai jati dirinya yang tersendiri.
"Sebagai warisan bahasa ibunda, mengabaikannya bermakna kita akan kehilangan identiti dan khazanah bangsa sendiri, tegasnya lagi pada forum sempena sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan 2009 yang bertemakan Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Manifestasi dalam Kedewasaan Bernegara itu.
Menurutnya pernyataan frasa "bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu" seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 Bab 82 (i) itu dapat ditafsirkan yang Bahasa Melayu hendaklah dibina, diperkembangkan dan didaulatkan sehingga dapat berperanan sebagai budaya tinggi dalam lingkungan geografi Brunei.
"Kita jangan sesekali lalai dan leka kerana masih banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kelangsungan dan martabat Bahasa Melayu itu sendiri baik di peringkat negara mahupun di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan seterusnya berkata dalam usia 25 tahun mengecap kemerdekaan, masyarakat negara ini perlu bermuhasabah dan menilai secara komprehensif sejauh mana penggunaan Bahasa Melayu sudah benar-benar dimartabatkan.
"Selain itu kita juga perlu bertanyakan apakah strategi dan pelan tindakan yang perlu diambil dalam menghadapi cabaran dan hambatan terutama dalam menempuhi era globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin canggih ini?" katanya lagi.
Di samping kerajaan memberikan perhatian kepada penguasaan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris supaya kita tidak ketinggalan dalam arus perdana globalisasi itu terutama dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, masyarakat negara ini tidak wajar mengetepikan betapa pentingnya peranan Bahasa Melayu dijadikan sebagai salah satu bahasa ilmu.
Menurutnya, dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu ke satu tahap yang tinggi saluran pendidikan adalah salah satu saluran yang penting.
Sehubungan itu penyebaran ilmu dan maklumat kepada masyarakat harus menjadi salah satu agenda utama, katanya.
Beliau menjelaskan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai salah sebuah institusi ilmu memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya ilmu di kalangan rakyat negara ini melalui lebih banyak lagi penghasilan dan penyebaran bahan ilmu di kalangan masyarakat.
"Ini termasuk penghasilan bahan terbitan bermutu tinggi dalam Bahasa Melayu yang menggunakan pelbagai media penerbitan supaya membantu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dapat memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan pengetahuan, maklumat dan kesedaran bagi membentuk budaya dan jati diri kebruneian demi survival bangsa dan negara," katanya.

1 ulasan:

  1. Salam,
    Cantik pejabat gurunya. Kalau ku tahu beginilah tak ku blah punya. Hehehe... Namun sejauh mana pun kita, internet mampu merapatkan kita semua. byeeeeeee

    BalasPadam